---------------------------------------------------------------

TINTA E.M.A.S SRIKANDI JILBAB

Tintaku menampilkan Etika. Tintaku adalah penyampai Maklumat. Tintaku adalah nukilan yang Asli, dan Tintaku ini mahu diingati orang Selama-lamanya...

BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU!
-----------------------------------------------------------------
Allah Itu Matlamat Kita
Al Quran Itu Pedoman Kita
Rasulullah Itu Qudwah Hasanah Kita
Jihad Itu Jalan Kita, Syahid Itu Semulia Cita-Cita Kita

Kejarlah cita-cita dengan istiqamah di dalam usaha, doa dan tawakkal. Walaupun kita tidak mampu memiliki kesempurnaan kerana kesyumulan itu adalah hak mutlak Allah ta'ala, tetapi teruskanlah usaha demi memurnikan ketaatan kepadaNya. Sesungguhnya keredhaan Allah adalah kejayaan yang paling besar -Srikandi Jilbab

Tinta emas buat hari ini :----------------------------------------------

---

31 May 2012

Bijak Si Katak Bijak

BIJAK SI KATAK BIJAK

Ulasan Ini Dikarang Bagi Peraduan Ulas Buku ITBM Di Blog / Facebook
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Oleh : Marini Binti Azahri
Emel : marini.azahri@gmail.com / srikandi_jilbab@yahoo.com

Tajuk Buku : Bijak Si Katak Bijak
ISBN : 978-983-068-878-7 
No Resit : ITNM000965

*****


“Katak bijak? Hmm, biasanya dalam cerita-cerita rakyat melayu, Sang Kancillah yang sering digelar bijak tetapi kali ini katak pula,” demikian desis hati saya tatkala mata digamit sebuah buku putih bersih, di kulit hadapannya dilukis seekor katak hijau, dan pada bahagian atasnya tertera tajuk “Bijak Si Katak Bijak.”

Sesiapa yang melihat buku yang comel itu tentu dapat mengagak bahawa buku itu adalah buku untuk kanak-kanak. Terpamer cantik di rak utama gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia atau singkatannya ITBM, saya pasti ia terbitan terbaru ITBM bagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini.

Langkah saya terhenti di hadapan gerai ITBM. Nampaknya hasrat hendak ke gerai buku lain terpaksa dibatalkan kerana Bijak Si Katak Bijak yang ternampak dari jauh itu pula terlebih dahulu mencuri perhatian. Tiba-tiba mata saya menangkap nama pengarangnya yang tertulis elok di atas tajuk buku tersebut.




Siti Zainon Ismail!

Wah, siapa yang tidak teruja melihat nama yang terkenal dalam dunia sastera itu? Siti Zainon Ismail adalah penulis, penyair, dan pelukis yang tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatan bakatnya. Pastinya sasterawan yang sering menggondol pelbagai anugerah sastera ini punya sebab tersendiri mengapa tiba-tiba sahaja memilih katak, binatang yang jelik dan menggelikan sebagai simbol kebijaksanaan dalam buku tersebut.

Sang Kancil yang bijak terus lenyap dari minda dan tanpa lengah, saya bergegas ke arah Bijak Si Katak Bijak. Seorang petugas yang ada di situ bagaikan sudah lama bersedia menanti kedatangan saya, kerana sebaik sahaja saya mencapai Bijak Si Katak Bijak, petugas itu terus berkata, “Ini buku puisi bergambar untuk kanak-kanak, puan. Karya terbaru Siti Zainon Ismail. Baru terbit tahun ini, cetakan pertama 2012!”

Ya, memang saya sudah lama berminat mengumpul buku puisi kanak-kanak bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukan. Selepas terpesona dengan Rindu Ibu daripada A.Samad Said, saya berniat mahu berjinak dengan karya-karya hebat Siti Zainon Ismail pula dan hari ini, tuhan bagaikan mengabulkan permintaan saya dengan munculnya Bijak Si Katak Bijak!

Saya belek teliti buku itu. Saiznya selesa dipegang dan tebalnya 107 halaman. Konsep kulit bukunya menepati kategori sasaran pembaca. Di bawah tajuk Bijak Si Katak Bijak, dilukis seekor katak hijau yang comel, ada dua kuntum bunga di atas kepalanya, dan sedang tersenyum manis pula. Oh, jika gambar katak betul diletakkan di situ, bukan sahaja saya tidak akan tertarik, malah geli pula hendak memegangnya. Saya ini, jika sudah geli kepada binatang, jangankan memegang, memandangnya sahaja saya sudah rasa geli-geleman.

Saya amati kulit belakangnya pula. Nombor ISBN 978-983-068-878-7 dan apabila melihat harganya, saya tersenyum. Tiga puluh ringgit, masih di bawah harga mampu milik. Apatah lagi dengan diskaun sebanyak dua puluh peratus, lebih-lebih lagi ia mampu dimiliki.

Pulang dari Pesta Buku, saya singgah di Meals Station KL Sentral. Bertemankan secawan cham kegemaran, tanpa rasa geli saya bedah Bijak Si Katak Bijak satu-persatu.

 
Aduhai, ternyata Bijak Si Katak Bijak adalah sebuah buku puisi kanak-kanak yang memikat, dengan empat bab puisi yang menyeronokkan iaitu Mari Belajar, Kerja Harian, Mari Gendang, dan Cerita Rakyat. Uniknya buku ini berbanding dengan buku puisi kanak-kanak yang pernah saya baca adalah kerana persembahannya. Di setiap mukasurat kanan buku ditulis rangkap-rangkap puisi, manakala di setiap mukasurat kiri pula dilukis gambar katak bersama puisi yang sama dengan tulisan jawi. Tambah memikat, semua katak dalam buku ini dilukis persis gaya orang melayu; memakai baju kurung, sarung, songkok, malah ada yang menari piring dan belajar silat juga! 
 
Lompat si katak lompat
siapa cepat dia dapat
lompat si katak lompat
mari cepat belajar silat

Demikian berwawasannya puisi pertama yang menyambut saya. Tajuknya Lompat Si Katak Lompat, dalam bab Mari Belajar. Lukisan katak yang penuh seni di sebelah kiri mukasuratnya pula begitu patriotik, kerana ia sedang menjulang bendera Malaysia!


Melalui puisi pertama ini, dapat dikesan hasrat pengarang yang mahu mendidik generasi muda agar mempelajari silat dan menghayati falsafah di sebalik warisan unggul bangsa melayu ini. Idea pengarang menyertakan puisi dalam tulisan jawi pula adalah satu usaha yang patut dipuji. Kanak-kanak yang didedahkan awal dengan tulisan jawi, pastinya lebih menghargai khazanah bangsa yang sememangnya perlu dimartabatkan dan diwariskan kepada generasi-generasi seterusnya ini.

Karakter katak-katak dalam buku puisi ini digambarkan dengan penuh sopan dan beradab. Mereka dipotretkan sebagai sebuah komuniti yang bertamadun, beradab, dan bijaksana. Sudah tentu, kerana tajuk bukunya adalah Bijak Si Katak Bijak. Persoalannya, mengapa katak, makhluk pasif yang terkenal dengan bidalan “seperti katak di bawah tempurung” itu menjadi pilihan dan di mana bijaknya katak pada pandangan pengarangnya?

Kata Siti Zainon melalui sinopsis buku ini, walaupun bidalan lama “katak di bawah tempurung” menggambarkan katak adalah binatang yang pasif, namun beliau terfikir katak sebenarnya adalah bijak. Beliau berpegang kepada pesan neneknya, “Katak itu banyak tempurung. Ia tidak tinggal lama di dalam satu tempurung, hanya sembunyi daripada musuh atau berlindung daripada hujan, siang dia melompat lagi. Berteduh lagi dengan mencari tempurung untuk berlindung.”

Pandangan beliau itu juga disampaikan dengan jelas melalui puisi bertajuk Rumah Katak, dalam bab Mari Belajar pada halaman 25. Begini bunyinya :

Hujan lebat sekali
katak sembunyi di bawah tempurung
itulah rumah katak
rumah tempurung yang banyak

Lepas hujan katak melompat
jalan dan lompat cari makan
kalau hujan lagi
katak sembunyi di bawah tempurung
untuk berlindung
banyak rumah katak
akalnya bijak.

Begitu halus dan seninya pandangan hati Siti Zainon, sehinggakan sehabis saya membaca semua puisi dalam buku ini, persepsi saya turut mengakui bahawa ya, memang katak binatang yang bijak!

Buku Bijak Si Katak Bijak ini berakhir dengan penuh hikmah, melalui puisi yang sangat menyentuh hati berjudul Tanggang Menjadi Batu dari bab Cerita Rakyat. Inilah petikan puisinya :

Ibu tua sedih dan kecewa
Tanggang lupa kasih bonda
hanya kepada Yang Maha Kuasa
ibu mengadu pilu
“Kalau betul Tanggang anakku
tunjukkan kuasaMu Ya Ilahi!
aku ibu yang papa
anakku malu dia lupa
setelah kaya.”

Tiba-tiba awan hitam bergulung
guruh sabung menyabung
bahtera pecah dilambung badai
Tanggang disumpah ibu
menjadi batu dan kaku.

Ternyata Siti Zainon juga bijak menyusun puisi-puisinya, sehingga sebelum buku ini ditutup, kanak-kanak yang membacanya sempat diingatkan bahawa dalam mencari hakikat kebahagiaan hidup, redha ibu bapalah yang paling penting kerana derhaka anak kepada ibu bapa samalah dengan derhaka hamba kepada tuhannya.

Pulang ke rumah, saya hulurkan Bijak Si Katak Bijak kepada Khairunnisa, anak saudara saya yang masih belajar di tahun satu. Sambil membelek buku itu, Khairunnisa ketawa sendirian. Apabila ditanya mengapa, jawabnya, “Lucu, katak pun pandai membaca, ya?” sambil dia menunjukkan gambar seekor katak yang sedang membaca buku. Di sebelah lukisan katak itu ada rangkap puisi bertajuk Mari Membaca.

Saya membalas, “Jadi, Nisa pun mestilah rajin belajar membaca. Jika tidak pandai membaca, nanti katak itu pula yang lebih pandai daripada Nisa.”

"Eh, tidak mahulah begitu, kita pula lebih bodoh daripada katak!" Balas Khairunnisa, disambung dengan ketawa lagi. Kemudian, dia membaca puisi yang bertajuk Mari Membaca itu di hadapan saya. Tersenyum saya melihat si kecil itu, tanpa tersekat-sekat berjaya menyudahkan bacaan puisinya sekali habis.

Secara jujurnya, saya mengakui bahawa Bijak Si Katak Bijak adalah sebuah buku puisi kanak-kanak yang berjaya. Bukan mudah mahu memikat kanak-kanak agar mencintai puisi tetapi Siti Zainon telah membuktikannya melalui buku ini. Beliau adalah penyair yang tajam naluri dalam memahami jiwa kanak-kanak. Katak yang dipilih sebagai lambang dalam mencapai kebijaksanaan adalah idea yang kreatif kerana sememangnya tabiat kanak-kanak mudah tertarik dengan binatang. Cuma jika lukisan-lukisan katak itu diberi sentuhan warna, saya yakin ia akan lebih memikat perhatian kanak-kanak.

Kelebihan puisi-puisi dalam buku ini pula terserlah daripada segi bentuk, bahasa, dan tema. Bentuk puisi yang dirangka tidak kompleks untuk ditutur oleh kanak-kanak. Sungguhpun puisinya singkat dan mudah, namun pengunaan unsur-unsur bahasa seperti rima, irama, dan metaforanya tetap indah manakala mesej yang cuba disampaikan melalui tema yang diketengahkan pula sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.

Buku puisi ini adalah antara buku puisi kanak-kanak yang terbaik. Bukan sahaja segar, bahkan puisinya juga mudah dideklamasi serta difahami kanak-kanak. Paling penting, Bijak Si Katak Bijak sarat dengan pengajaran. Di tengah-tengah masyarakat sedang berhadapan dengan arus pembangunan yang semakin memudarkan nilai-nilai budaya, kemunculan buku puisi ini adalah satu sumbangan sastera yang sangat menyuntik jati diri. Seharusnya ia menjadi bahan bacaan yang perlu dipilih dalam usaha mencanai jiwa dan minda kanak-kanak agar mencintai warisan budaya dan menjadi bangsa yang bijaksana.

Lebih daripada itu, saya berpendapat Bijak Si Katak Bijak bukan hanya sesuai untuk bacaan si kecil. Bijak Si Katak Bijak sebenarnya adalah untuk semua ummat manusia yang beriltizam menjadi bijak, lebih bijak daripada si katak!

Followers