---------------------------------------------------------------

TINTA E.M.A.S SRIKANDI JILBAB

Tintaku menampilkan Etika. Tintaku adalah penyampai Maklumat. Tintaku adalah nukilan yang Asli, dan Tintaku ini mahu diingati orang Selama-lamanya...

BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU!
-----------------------------------------------------------------
Allah Itu Matlamat Kita
Al Quran Itu Pedoman Kita
Rasulullah Itu Qudwah Hasanah Kita
Jihad Itu Jalan Kita, Syahid Itu Semulia Cita-Cita Kita

Kejarlah cita-cita dengan istiqamah di dalam usaha, doa dan tawakkal. Walaupun kita tidak mampu memiliki kesempurnaan kerana kesyumulan itu adalah hak mutlak Allah ta'ala, tetapi teruskanlah usaha demi memurnikan ketaatan kepadaNya. Sesungguhnya keredhaan Allah adalah kejayaan yang paling besar -Srikandi Jilbab

Tinta emas buat hari ini :----------------------------------------------

---

13 February 2010

Laporan Prestasi Pekerja : Antara nilaian manusia dan nilaian Allah.


Yang layak menilai manusia dengan tepat dan adil hanyalah Allah subhanahuwataala. Dia yang menciptakan manusia, maka sudah pasti Dia maha mengetahui isi hati hambaNya. Apa yang manusia lakukan sama ada secara terang-terangan ataupun sembunyi-sembunyi, nescaya tidak akan terlepas daripada pengetahuan Allah yang maha mengetahui. Penilaian Allah sangat adil lantaran konsistennya Dia memerhati dan mengekori kita dengan sifat-sifat agungNya yang mustahil ada pada manusia.

Lalu apabila setiap hujung tahun saya diminta menyerahkan laporan prestasi pekerja bawahan saya kepada pihak pengurusan, maka inilah soalan yang menjelma sebagai tukul yang menghentam-hentam otak saya:

Hakikatnya, baguskah implementasi anugerah khidmat cemerlang ini? Adilkah penilaian itu, apabila anak buah kita, makhluk Allah yang lemah dinilai oleh kita, hamba Allah yang juga lemah? Apatah lagi perlu pula memarkahi mereka, dengan penanda aras orang itu bagus buat kerja, dan orang ini tidak bagus buat kerja!

Sebagai manusia, kepuasan seseorang ketua dengan hasil kerja orang bawahannya adalah sesuatu yang subjektif. Ada ketua yang hanya mementingkan objektif tanpa menghiraukan prosesnya sama ada positif ataupun negatif, halal ataupun haram. Ada pula ketua yang mementingkan proses berbanding objektif dan ada pula ketua yang sangat perfectionist, segala proses perlulah sempurna dan semua objektif harus dicapai ke tahap maksima! Oh, malangnya si A, markahnya rendah kerana ketuanya seorang yang perfectionist dan untungya si B, kerana walaupun prestasinya sama dengan A, tetapi markahnya tinggi dan berjaya mendapat anugerah khidmat cemerlang kerana ketuanya bukanlah seorang yang serius tentang objektif ataupun proses kerja-kerja mereka. Lemahnya nilaian manusia ke atas manusia!

Sebagai manusia, sepasang mata si ketua memang tidak mampu mengekori setiap langkah pekerja bawahan mereka. Tidak mustahil berlaku anak buah yang dinilai dengan markah yang tinggi itu rupa-rupanya adalah seorang pekerja yang pakar berpura-pura rajin, sedangkan anak buah yang dinilai dengan markah yang rendah pula sebenarnya adalah seorang pekerja yang ikhlas dan tidak suka menggembar-gemburkan sumbangan yang dilakukannya kepada organisasi. Lemahnya nilaian manusia ke atas manusia!

Anugerah Khidmat Cemerlang? Sehingga sekarang tetap saya dengan pendirian saya berdasarkan pemerhatian dan pengalaman akan amalannya setakat ini : faedahnya memang banyak, membuatkan keburukan yang timbul antara pekerja semakin banyak. Di hadapan ketua tidak ada yang berbunyi tetapi di belakang ketua mungkin mereka boleh membuka station radio sendiri. Apatah lagi markah penilaian bagi pemilihan bukanlah markah yang sempurna kerana ia dibuat oleh manusia. Justeru wahai bos-bos, didiklah semua manusia di jabatan anda agar bekerja dengan ikhlas tanpa ada rasa tidak puas hati jika tidak berjaya mendapat anugerah khidmat cemerlang.

Kepada semua pekerja, bersyukurlah jika saudara berjaya mendapat anugerah khidmat cemerlang, tetapi jika gagal, usahlah berasa gusar dan tidak puas hati pula. Apa yang hendak dibanggakan? Anugerah khidmat cemerlang bukanlah nilaian daripada Allah, tetapi ia hanyalah nilaian manusia yang lemah dan sama fitrahnya seperti kita. Betapa besar sumbangan Muhammad bin Abdullah kepada dunia islam, tetapi berapa pula anugerah khidmat cemerlang yang baginda dapat? Jika kita benar-benar cemerlang, sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui dan lebih bijak menilainya. Rindulah akan anugerah daripada Allah yang maha bijaksana dalam menilai dan mengadili. Anugerah itulah yang sepatutnya kita kejar dan banggakan.

Buat semua ketua-ketua yang sering menilai prestasi anak buah masing-masing, berhati-hatilah dengan penilaian yang kita buat. Sesungguhnya nilaian manusia ke atas manusia tidak ada yang sempurna. Takutlah dengan kemungkinan bahawa markah yang kita turunkan itu adalah satu penzaliman kepada mereka yang tidak bersalah. Bukankah kita ini manusia yang hanya ada sepasang mata dan satu otak yang terhad fungsinya?

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, dalam bukunya bertajuk "Indahnya NamaMu, menulis bahawa manusia mempunyai kelemahan untuk berlaku adil ketika menghakimi. Justeru itu, Allah memberi amaran kepada manusia melalui firmanNya dalam Surah An Nisa ayat 58 : "Apabila kamu menghakimi di antara manusia, maka hendaklah kamu menghakimi dengan adil."

Maka mohonlah pertolongan Allah dan mohonlah perlindungan daripadaNya agar kita tidak berlaku zalim kepada orang bawahan kita. Kita tidak tahu satu perkara pun melainkan apa yang Allah ilhamkan dalam kepala kita. Kerana tidak pernah memandang remeh perkara ini, maka di sini suka saya berkongsi amalan di bawah, khusus buat bos-bos yang sering menilai prestasi anak buah di pejabat:


Amalan 1 : Sebelum menilai pekerja bawahan, mintalah dengan baik agar mereka menilai diri mereka sendiri dengan jujur terlebih dahulu. Kita bukan tuhan yang maha mengetahui segala apa yang mereka tunjuk atau selindungkan. Lihatlah bagaimana mereka meletak markah untuk diri sendiri. Mungkin ada yang tidak jujur, maka mohonlah perlindungan daripada Allah agar kita yang tidak tahu ini diberi petunjuk dalam memberi markah agar kita tidak terpedaya dengan sifat tidak amanah mereka. [ Terima kasih kepada bos saya, Puan Sharifah yang menurunkan tips pertama ini kepada saya]

Amalan 2 : Imam Bukhari tidak pernah lalai daripada mengerjakan solat sunat istikharah setiap kali beliau mahu menyimpulkan sesuatu hadis yang diriwayatkannya. Mengambil teladan daripada amalan imam besar ini, maka sebelum meletakkan markah prestasi, dirikanlah solat sunat istikharah. Mohonlah kepada Allah sesungguh hati : Ya Allah yang maha kuasa, aku mohon mudahkanlah urusanku dan bantulah aku. Lindungilah aku daripada berlaku zalim kepada orang bawahanku. Berilah aku petunjuk ketika aku memberi markah prestasi kepada mereka. Berilah ilham yang baik kepadaku, dan gerakkanlah tanganku agar menulis markah penilaian yang adil kepada mereka. Sesungguhnya segala ilmu pengetahuanku, keupayaan menilaiku, dan tanganku yang menulis markah ini berada dalam genggaman kuasaMu. Aku tidak tahu apa-apa selain dari apa yang kau izinkan bagiku. Ya Allah yang maha mengetahui, bantulah aku dan tunjukilah aku. Amin.

Amalan 3 : Selepas memberi markah, serahkan sekali lagi perkara itu kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya kita sudah berusaha melakukan yang terbaik bersama doa dan tawakkal kepada Allah, maka bersangka baiklah bahawa Allah akan sentiasa melindungi kita, kerana kita tidak pernah meninggalkannya dalam apa perkara sekalipun, sama ada kecil ataupun besar. Jika timbul juga masalah tidak puas hati, maka ingatlah bukankah manusia sememangnya makhluk yang sukar berpuas hati dengan apa yang mereka ada ataupun dapat? Sebagai ketua, kita sudah buat yang terbaik, maka jika timbul juga masalah tidak puas hati, bawalah berbincang, mohon pertolongan Allah, dan serahkan semuanya kepada Dia. Setiap yang berlaku bukan sekadar kerana ia memang akan berlaku, tetapi di sebaliknya terselindung rahmat Allah untuk mereka yang memahami.

"Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah(quran) dan rasul(sunnah)." [An Nisa : ayat 59]

Tuan Guru Nik Aziz, juga dalam bukunya "Indahnya NamaMu" memberi petua : Sekiranya dibaca nama Allah "Al Muhsyi" atau "Ya Muhsyi" hingga seribu kali, terutamanya pada malam jumaat, insya-Allah tuhan menjadikan orang itu terhindar daripada tersalah dalam fikiran ketika membuat sesuatu tindakan. Buat bos-bos yang sering pelupa lantaran kapasiti memori kepala terlalu padat diisi kerja-kerja pejabat, petua ini amat berguna, insya-Allah. Sesungguhnya, dengan namaNya, kita hidup.

Kepada setiap yang bergelar ketua, selamat membuat penilaian dengan jiwa yang waras dan penuh kesedaran bahawa nilai manusia yang sebenarnya ialah manusia yang terbaik di sisi Allah taala!

1 comment:

Si Beloot said...

Salam...
Izin copy ke lubuk hamba :
http://albeloot.blogspot.com

Followers