Saya adalah pencinta buku. Sejak kecil, saya memang suka membaca buku. Saya adalah penggemar buku sehinggakan segala jenis buku yang dapat memberi kefahaman kepada saya tentang sesuatu perkara akan saya baca.
Sesiapa yang mencintai buku, maka secara automatik, saya akan terasa dekat dengan orang itu. Secara automatik juga orang itu akan terasa mudah untuk merapati saya. Malah, saya juga akan mudah menjadi sahabat baik mereka. Semuanya kerana buku.
Sejak kecil, buku adalah sahabat yang sangat rapat dengan saya. Semasa kecil juga, bonda sering membebel kerana saya kerap “skip” waktu makan jika buku sudah berada di tangan. Mata saya yang rabun jauh ini pula bahana tabiat buruk semasa di bangku sekolah - membaca di dalam bilik tidur sehingga ke santak senja tanpa memasang lampu bilik.
Jika begitulah gayanya, mungkin benarlah kata-kata Erasmus, si ahli falsafah Rotterdam itu - jika sudah ketagihkan buku, maka duit yang ada akan dibuat membeli buku sebelum membeli makanan!
Tetapi saya pasti kata-kata Erasmus Desiderius yang agung ini akan disanggah oleh sifu saya (yang agung :p), Kang Razzi Armansur. Tokoh penulis MLM ini akan mengulangi ayatnya - jika orang ada duit, orang akan beli makanan dahulu, barulah beli buku (kalau kebulur dan mati, macam mana nak diteruskan tabiat membaca beb). Hehe, kenyataan Sifu Kang juga benar, malah lebih daripada benar pada pertimbangan saya.
Semasa bersekolah, kekangan kewangan membuatkan saya terpaksa meminjam sahaja buku daripada perpustakaan dan kawan-kawan. Perpustakaan sekolah, perpustakaan awam di bandar Pasir Puteh, dan perpustakaan bergerak, sebutlah sahaja perpustakaan apa pun waktu itu, nama saya pasti terselit sebagai salah seorang ahlinya.
Pernah suatu masa dahulu saya pergi ke perpustakaan desa di kampung saya untuk mendaftar sebagai ahli, tetapi kecewa naik menggunung apabila melihat di dalam perpustakaan itu tidak ada sebiji buku pun. Hanya papan tanda sahaja yang ada, sebagai penghias bangunan balai raya mungkin.
Kini, sejak mempunyai gaji sendiri, kecintaan saya kepada buku sudah mencapai tahap menggila. Sukar hendak diterangkan bagaimana cintanya saya kepada buku sehinggakan sekarang ini, saya bukan sahaja membaca buku dan mengaut ilmu daripadanya, tetapi kini saya pula yang menulis buku dan menyampaikan ilmu kepada pembaca-pembaca lain. Menulis dan menyampaikan perkara yang baik-baik, saya kira itu hasil daripada pelaburan saya ke atas pembelian dan pembacaan buku selama ini.
Di kampung, bonda dan ayahnda juga suka membaca. Ayahnda dan bonda tidak habis sekolah, tetapi berkat rajin membaca, ditambah pula kematangan dalam menghadapi mehnah hidup, mereka berdua menjadi pusat kecil rujukan ilmu bagi kami anak-anaknya, terutama ilmu agama, politik, serta ilmu psikologi keluarga. Walaubagaimanapun, tahap kerajinan membaca ayahnda lebih mengatasi bonda. Yalah, bonda sibuk menguruskan rumah tangga dan cucu-cucu yang suka bermalam di rumahnya saban hujung minggu.
Ayahnda sering mengingatkan, ilmu itu ibarat air yang mengalir. Ia suci, lagi menyucikan. Jika kita tidak menambah ilmu, ia ibarat air yang bertangkung. Bukan sahaja busuk dan kotor, malah ia tidak mampu menjadi bahan penyuci bagi orang lain.
Saya bersetuju jika ada orang berkata membaca ialah satu seni kerana membaca adalah satu perlakuan yang setiap orang ada cara dan gaya dalam menikmatinya. Ada orang yang suka membaca sambil mendengar radio. Ada orang yang suka membaca sambil berbaring di atas katil, dan ada orang yang suka membelek-belek, dan memilih yang menarik-menarik sahaja. Lebih serius, ada orang yang membaca dengan pen dan buku catatan di tangan.
Kakak saya, Ustazah Nafizah, seorang pendakwah bebas berkata, jika dia membaca, pen dan buku catitan mesti ada bersama kerana ia penting bagi mencatit isi-isi penting dalam kitab-kitab sebagai modal kepada ceramah-ceramahnya.
Gaya membaca saya pula bergantung kepada keaadaan. Biasanya jika di rumah, saya akan membaca dengan pen dan pembaris di tangan, bagi mencatat atau menanda apa-apa yang saya rasa kandungannya penting untuk rujukan saya di masa akan datang. Ataupun jika saya rasa ianya ayat yang penting untuk saya ingat.
Apabila membaca bahan bacaan yang berat, biasanya ia akan memaksa saya membuka kembali buku-buku lain yang sudah dibaca dan mempunyai kaitan dengan buku yang sedang saya baca.
Contohnya ketika membaca buku bertajuk Islam dan Demokrasi karya ulamak terkenal Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mengemukakan fakta sejarah sistem demokrasi, maka demi memuaskan hati dengan fakta itu, saya akan membuka buku Sejarah Peradaban Dunia tingkatan lima yang masih saya simpan sehingga ke hari ini. Tidak cukup dengan itu, saya akan buka internet dan “menggoogle” atau “mengyahoo” pula.
Ketika membaca buku tentang 20 Persoalan Asas Palestin karya Ustaz Maszlee Malik yang mengemukakan fakta tentang kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah, maka disebabkan kurang faham dengan kenyataan dalam buku itu, saya pun terpaksa membelek kembali buku Jatuhnya sebuah Tamadun – Menyingkap Sejarah Kegemilangan dan Kehancuran Empayar Khalifah Islam karya Mohamad Nurhakim.
Yang pastinya, quran, kitab hadis, google, dan yahoo tidak akan ketinggalan sebagai ejen carian maklumat yang menambah kefahaman saya tentang sesuatu yang sedang saya baca. Maka sebab itulah jika membaca bahan bacaan berat, ia akan mengambil masa yang lama untuk saya selesai. Sebab itu buku-buku berat begini jarang saya bawa dan baca di luar rumah, sama ada di dalam komuter ataupun di mana-mana tempat terbuka. Jika dibawa juga, saya tidak akan terlepas menanda setiap fakta yang saya tidak puas hati dengan niat pulang ke rumah nanti saya akan buat carian lanjut tentangnya.
Bagi buku yang sederhana berat seperti buku motivasi atau nasihat-nasihat agama, pun saya akan berbuat perkara yang sama. Buku seperti ini, kadang-kadang jadi pilihan juga untuk dibawa ke mana saya pergi walaupun saya lebih suka membacanya di dalam bilik dalam keadaan senyap bagi menyerap dan menghayati semangat yang terkandung di dalamnya dengan penuh berkesan.
Jika ada dalil daripada quran dan hadis yang menarik perhatian dalam buku yang sedang dibaca, maka saya dengan sendirinya tanpa dipaksa-paksa akan membelek quran dan buku-buku hadis bagi mengesahkan kesahihan dalil tersebut. Malah, sempat juga saya salin semula dalil daripada quran dan hadis yang menarik perhatian saya itu ke dalam sebuah buku latihan khas.
Waktu-waktu senggang, saya akan membaca dan menghafal dalil-dalil itu, walaupun susah untuk saya mengingati semuanya. Entah mengapa, saya akan berasa puas dan berbaloi membeli buku tersebut jika saya berbuat begitu.
Apabila membaca bahan bacaan yang agak ringan seperti novel, biasanya saya tidak perlukan pembaris. Saya tidak kisah jika garisan yang saya buat bengkang bengkok kerana yang saya tandakan ialah peribahasa, pelukisan alam, dan ayat-ayat yang indah dan penuh sastera yang terdapat dalam novel yang sedang saya baca.
Buku-buku yang agak ringan seperti ini, tidaklah menyusahkan jika saya bawa dan membacanya di luar rumah, kerana kandungannya masih boleh diserap dan dihayati jika dibaca di tempat-tempat terbuka seperti di dalam komuter ataupun LRT, walaupun ianya sastera berat seberat karya Faisal Tehrani ataupun Pak Samad, ataupun novel-novel Andrea Hirata yang sarat dengan terminologi-terminologi aneh dan berat.
Membaca adalah satu keindahan yang hanya akan difahami oleh pencinta buku sahaja. Saya bersyukur kerana Allah mencampakkan rasa cinta kepada buku dan ilmu ke dalam hati saya sejak dari saya kecil lagi. Rasa cinta ini, bukan cinta yang hadirnya dibuat-buat. Ia hadir sendiri, dan hanya Allahlah yang mengetahui mengapa hati saya dipilih untuk merasai rasa cinta yang membuak-buak ini.
Sejak akhir-akhir ini, ramai ahli akademik yang membuat analisis tentang tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa tabiat suka membaca dan jenis bahan yang dibaca adalah dua perkara yang berbeza dan perlu tahu dibezakan oleh pembaca. Suka membaca adalah baik, tetapi ia akan berubah menjadi tidak baik jika apa yang dibaca ialah bahan bacaan yang tidak berkualiti.
Saya pernah dikatakan “boring” oleh seorang rakan kerana sering membaca novel berat Faisal Tehrani. Ketika pertama kali saya memberitahu kepadanya saya mempunyai banyak koleksi buku Faisal, rakan saya itu teruja mahu meminjam semuanya. Ini kerana dia telah terbaca satu novel Faisal berjudul Tunggu Teduh Dulu dan telah jatuh suka dengan buku penulis tersebut.
Malangnya, rakan saya itu tidak tahu bahawa novel Tunggu Teduh Dulu adalah novel Faisal yang “khas” untuk pembaca beginner yang baru hendak berkenalan dengan tulisan-tulisan beliau. Lalu apabila saya menyodoknya dengan 1515, Manikam Kalbu, 1511H[Kombat], Tuhan Manusia, dan buku-buku Faisal yang lain, rakan saya itu mengeluh dan mengatakan saya ini memboringkan kerana membaca buku-buku cerita sejarah. Oh, rupa-rupanya dia menjangkakan saya akan menunjukkan buku novel cinta-cinta picisan yang banyak terdapat di pasaran. Malangnya novel-novel seperti itu, satu pun tidak ada dalam koleksi saya.
Ketika saya cuba membaca buku Teori Evolusi Charles Darwin, seorang rakan saya menggeleng-geleng kepala. Berat, katanya. Ya, memang berat dan tidak seringan buku Hary Potter yang berada di tangannya waktu itu. Agaknya jika saya tunjukkan Ihya’ Ulumuddin ataupun Riyadhus Salihin, apalah pula keluhan mereka.
Bagaimana hendak diperjelaskan? Saya bukan suka-suka memilih buku-buku berat tersebut. Saya memilih buku-buku yang mereka katakan berat itu lantaran didorong rasa ingin tahu yang sangat kuat. Ia bermula lama dahulu, sejak saya teruja mendengar pelbagai istilah asing yang tidak saya ketemu sebelum ini - Latheral thinking, Andalus itu Sepanyol, Diaspora, Tsun Tze The Art Of War, Teori Darwin, dan pelbagai lagi istilah yang membuatkan saya rasa betapa kerdilnya ilmu yang saya miliki selama ini. Lantas, saya mencari kefahaman, dan inilah puncanya mengapa buku-buku yang dikatakan berat oleh mereka itu menjadi pilihan saya.
Secara jujurnya saya mengakui, novel-novel cinta picisan dan hiburan ringan yang popular di pasaran kini memang pernah saya baca, tetapi ia dibaca ketika saya masih di bangku sekolah. Kekangan kewangan membuatkan saya membaca apa-apa sahaja buku cerita yang dibekalkan oleh perpustakaan dan waktu itu, di Perpustakaan Bandar Pasir Putehlah saya berkenalan dengan Donia, Mimah, Liar, Budak Setan, Boy, Jass Mafia, dan banyak lagi.
Kini waktu itu sudah jauh ditinggalkan dan saya tidak suka menjadi pembaca yang statik tanpa melalui apa-apa perubahan ke arah kebaikan. Di sini saya kira letaknya kematangan seorang pembaca yang tegar dan memandangkan buku-buku ilmiah yang lain masih banyak hendak ditelaah, inilah puncanya membuatkan hati saya tertutup terus daripada menjadi pembaca buku-buku novel cinta picisan atau buku-buku hiburan dan ringan yang lain. Demi masa, manusia itu berada dalam kerugian - itu amaran yang akan muncul setiap kali mata saya singgah ke buku-buku sebegitu.
Satu artikel saya petik dari blog MPR rasanya sesuai untuk dikongsikan di sini. Membaca dan bahan bacaan, dua perkara berbeza yang perlu kita tahu untuk dibezakan. Semoga ia menjadi panduan untuk kita menambah mutu pembacaan agar ia berguna untuk dunia dan akhirat kita. Wallahua’lam.

0 comments:
Post a Comment