Hebat dan mantap. Inilah wajah ibunda guruku yang dikasihi dan dihormati, Puan Ainon Mohd, Pengerusi Kumpulan PTS Publication Sdn Bhd.Inilah wanita besi pejuang bahasa yang berani memperjuangkan kebenaran walaupun tekanan datang dari pelbagai arah. Inilah pejuang bahasa yang gagah memperjuangkan nasib anak-anak pedalaman yang keciciran lewat program mega PPSMI. Saya berdoa semoga Allah sentiasa merahmati ibunda guru yang tercinta.
Ibunda guru yang sangat banyak berjasa kepada saya ini telah muncul di iklan akhbar berita harian dengan janji-janjinya seperti ini :
Dalam kerancakan industri buku melayu yang kian menggembur-gembur kini, siapa yang tidak kenal PTS? Dewasa, remaja, kanak-kanak, dan terutama ulat buku, pasti nama PTS bukan sesuatu yang asing di hati mereka.Masih saya ingat, kali pertama saya bertemu beliau ialah ketika menghadiri bengkel Pemikiran Lateral yang beliau kendalikan pada awal tahun 2007. Itulah bengkel pertama beliau yang saya hadiri, sehinggalah kini, tahun 2010, dan insya-Allah akan berterusan selagi beliau ada.
Wau, pejam celik - pejam celik rupa-rupanya sudah hampir 3 tahun saya menjadi mentee mentah Sifu Ainon. Padanlah sifu pernah bertanya "mana buku cikpuan???"..hehe..Sifu memang seorang yang tegas dan pantang jika ada orang yang rajin datang bengkel tetapi satu buku pun tidak pernah terbit. Sia-sia ilmu yang diberi. (Sori Sifu, bukan tidak pernah terbit, cuma lambat sedikit sahaja)
Sifu Ainon yang saya kenali adalah seorang yang berfikir lateral. Maka tidak hairanlah idea-ideanya unik dan kreatif, walaupun bagi sesetengah orang idea itu tidak menarik, malah tidak ada apa-apa pada peringkat awalnya.
Melalui strategi flankingnya - menubuhkan enam anak syarikat PTS dengan fokus masing-masing, berdasarkan strategi flanking Nabi Yaakub dalam Surah Yusuf yang menyuruh 9 orang anaknya masuk ke Kota Mesir melalui anak pintu-anak pintu yang berasingan, dan berdasarkan pakejing buku yang menarik bersama promosi yang kreatif, maka layaklah jika dikatakan PTS antara penerbit yang popular dan cemerlang ketika ini.
Moto Sifu Ainon dan PTS ialah memandaikan bangsa, terutama bangsa melayu dan islam. Moto itulah yang sering beliau laungkan di hadapan khalayak, apatah lagi jika di hadapan penulis-penulis yang mahu menerbitkan buku bersama PTS.
Moto yang Sifu Ainon tanamkan di dalam hati mentee-menteenya memang melekat kuat di hati saya. Malah, moto inilah juga yang sering saya gunakan jika mahu “membodek” beliau agar melayan dan membalas emel-emel saya berkaitan buku dan penulisan (hehe, jangan marah ya, Sifu, saya ikhlas tau!).
Berkat berguru dengan wanita besi ini, maka setiap kali menulis buku, terbiasalah saya mengikut dua peraturan yang Sifu sebutkan di atas, iaitu buku yang syariah compliant, dan menggunakan bahasa melayu tinggi. Alhamdulillah, setakat ini, Sifu memaklumkan dalam nota-notanya, bahasa melayu tinggi saya, tidak ada masalah. Kebetulan pula jiwa ini memang sukakan perkara yang islamik. Maka ajaran-ajaran Sifu terasa benar menepati fikrah saya selama ini.
Kepada ibunda guruku Sifu Hajjah Ainon Mohd, suami beliau Prof Abdullah Hassan yang juga pejuang bahasa yang kental, dan seluruh tim PTS, saya ucapkan selamat meneruskan perjuangan memandaikan bangsa dengan penuh amanah dan ikhlas. Terima kasih atas kegigihan memperjuangkan martabat bahasa kita, bahasa melayu yang tercinta.
Sesungguhnya hukamak silam pernah berkata bahawa tanpa bahasa, tiadalah bangsa, dan hancurlah negara. Ini lambang jati diri manusia yang punya bangsa. Semoga amalan kalian diterimaNya, amin.

0 comments:
Post a Comment