18 Mei 2010
10 Mei - 14 Mei 2010
Imbas kembali. Seminggu saya tidak masuk ke pejabat lantaran menghadiri Mesyuarat Penilaian Tender sebagai Jawatankuasa Penilai Teknikal (Pesanan kerajaan : Nama tender adalah rahsia). Penilaian tender itu sepatutnya diadakan di hotel luar Putrajaya dengan pakej bermalam (biasanya bagi mengelakkan isu lobi melobi dan bagi memberi masa yang cukup untuk penilai menyiapkan laporan). Tetapi di saat akhir ia terpaksa diadakan di dalam kawasan Putrajaya juga atas sebab kekangan bajet@ tidak ada duit.
(1) Syarikat-syarikat yang sudah biasa menyertai tender kerajaan, didapati mereka akan bijak membaca keperluan tender.
(2) Mereka juga semakin bijak dalam memanipulasi maklumat dalam dokumen agar mereka berjaya memperolehi tender tersebut.
Tidak faham apa yang saya katakan? Tidak mengapa, kerana ayat ini hanya ditujukan khas kepada golongan PTM yang sering dilantik sebagai Penilai Teknikal. Jika saudara dilantik sebagai penilai teknikal, maka nilailah tawaran-tawaran petender dengan bijak. Analisa setinggi langit, agar kita tidak mudah terpedaya dengan tawaran manis yang bergula (kita mahu madu asli tau). Mereka tawarkan A++, tetapi jika tawaran A++ itu tidak pegawai(tauke tender) pantau selepas mereka diaward dengan tender tersebut, maka untunglah mereka-mereka ini. Berjanji beri emas, tapi bila berjaya dapat tender beri kita besi. Untung mereka ini, bukan?
Tolonglah, saya sudah serik berurusan dengan petender yang berjaya dapat tender, tetapi kerjanya macam sampah, tidak seperti apa yang dijanjikan dalam dokumen. Sakit, tahu? Sebagai pegawai, kita pula yang akan dipertanggungjawabkan dan perlu membalas serangan-serangan dalam mesyuarat disebabkan implementasi tender itu di bawah pengurusan kita.
14 Mei 2010
Bilik tempat berlangsungnya penilaian tender itu akhirnya berjaya juga mengalahkan saya. Hawa sejuk yang saya agak sekitar 16 darjah celcius berjaya menekan suis migrain saya hingga akhirnya saya muntah dua kali dan terpaksa merangkak pulang awal, meninggalkan rakan-rakan penilai lain yang sedang berhempas pulas menyiapkan laporan. Sakitnya kepala saya. Nasib baik saya tidak pitam semasa dalam perjalanan pulang. Jika kepala ini boleh dicabut, mungkin kurang sedikit penderitaan saya.
17 Mei 2010
Migrain yang semakin susut seakan datang semula apabila mendapat surat daripada BPPA yang mengarahkan saya menghadiri mesyuarat lanjutan penilaian tender pada 18 mei 2010 kerana mesyuarat yang sepatutnya berakhir pada 14 mei, jumaat lepas masih belum selesai!
Sepul, juruteknik saya yang sebaya umurnya dengan saya membebel-bebel dengan wajah yang lucu apabila dimaklumkan saya tidak dapat masuk ke pejabat untuk satu hari lagi. Yalah, saya faham, tentulah sukar jika bekerja tanpa ada bos untuk dirujuk dan diadu masalah . Tetapi ini arahan yang perlu dipatuhi seperti yang termaktub dalam Surat Aku Janji yang saya tandatangani ketika mula-mula menerima jawatan sebagai pegawai kerajaan.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA - Saya yang menurut perintah”, cam atau tidak ungkapan ini? Aduhai, demi WANG RAKYAT yang perlu diuruskan dengan sebaik mungkin dalam penilaian tender itu, migrain pun migrainlah.
10 Mei - 14 Mei, dan 18 Mei 2010
Berlenggang lenggoklah saya keluar dari rumah kerana mesyuarat penilaian bermula dalam pukul 9 ke 9.30 pagi. Komuter 7.33 pagi menjadi pilihan saya, walaupun kadang-kadang terlajak naik komuter jam 7.48 pagi apabila melihat koc padat dipenuhi ikan-ikan sardin.
Biasanya saya jarang mahu berebut-rebut. Bukan kontrol ayu, tetapi disebabkan sebelum ini adegan berebut masuk ke komuter itu pelakonnya banyak terdiri daripada pelakon import luar negara, maka saya sebagai warganegara Malaysia yang lebih berhak ke atas komuter itu, dengan rendah hati memberi sahaja peluang kepada mereka merempuh masuk ke dalam komuter. Bukankah warganegara Malaysia terkenal dengan adab sopan dan budi bahasa? Bukan saya kata, kempen budi bahasa yang kata:p
Hanya selepas koc wanita diperkenalkan, barulah saya senang hati untuk masuk ke komuter yang padat kerana walaupun terpaksa berhimpit, yang dihimpit dan menghimpit itu sekurang-kurangnya jantina manusia yang tidak pernah lupa pakai deodoran.
Pantai Dalam, Ukhwah Islam, Sedekah, dan Seorang Indon Jantan
Ada seorang makcik tua yang sangat mengagumkan. Ketika saya sedang menunggu komuter 7.33 pagi, makcik tua itu datang dan bersalam dengan saya. Beliau juga bersalam dengan orang-orang di sebelah saya, di sekitar platform pink. Beliau mengucapkan salam, bersalaman, dan menghadiahkan senyum kepada semua kaum perempuan di situ.
Saya menyambut salam beliau dengan senang hati. Seorang perempuan muda di sebelah saya bertanya sama ada saya kenal makcik tersebut atau tidak. Saya menggeleng tanda tidak kenal. Perempuan itu dan rakannya tersenyum sinis dan membuat kesimpulan seolah-olah makcik itu tadi adalah orang tua yang otaknya tidak betul.
Saya diam sahaja. Sebenarnya saya kesal dengan anggapan perempuan itu. Saya kira perempuan itu tidak pernah mendengar sabda nabi di bawah :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Sabda Rasullullah s.a.w. :” Demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih sayang. Sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah ucapan SALAM di kalangan kamu " ( Hadis riwayat Muslim )
Makcik tua itu hanya mahu menunjukkan bahawa islam itu indah. Islam mengeratkan hubungan antara manusia yang saling tidak mengenali melalui ucapan salam dan bersalaman(sesama muhrim). Lalu, mengapa diumpat pula makcik tua yang berperibadi mulia itu? Entah-entah makcik itu adalah malaikat utusan Allah yang turun untuk menguji manusia-manusia di bumi yang semakin lupa ayat Allah di bawah :
“Apabila kamu diberi penghormatan (dengan ucapan salam) hendaklah kamu menjawab dengan lebih baik atau jawab yang seumpamanya.” (Al-Nisa’ ayat 86)
Ukhwah itu indah dan mulia. Hari ini, jika kita memenuhi jemputan kenduri sahabat baik kita, itu adalah ukhwah. Esok, jika kita memenuhi jemputan kenduri seorang kakitangan pejabat yang kita tidak pernah pun bertegur sapa pula, itu juga adalah ukhwah, dan ia adalah ukhwah yang lebih baik kerana kita hadir juga ke kendurinya walaupun dia tidak pernah menegur kita.
“Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim yang lain. Ia tidak menganiayanya, tidak pula menyerahkannya (kepada musuhnya). Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi pula keperluannya. Siapa yang melapangkan suatu kesulitan seorang Muslim, Allah akan melapangkan baginya satu kesulitan pula dari kesulitan-kesulitan yang dihadapi di hari kemudian.” (Bukhari dan Muslim)
Ada seorang lagi wanita yang mengagumkan. Ketika saya terlongo di hadapan koc komuter 7.33 pagi yang telah penuh, tiba-tiba tangan saya ditarik oleh seorang wanita yang mahu menolong agar saya berjaya masuk ke dalam komuter. Saya tidaklah berhajat mahu merempuh masuk, kerana komuter jam 7.48 pagi masih ada dan mesyuarat pula bermula 9.30 pagi. Saya masih ada masa, tetapi tarikan wanita itu yang sudah pun berada di dalam komuter menyebabkan saya berjaya juga masuk ke komuter tersebut.
“Cepat dik, sempat lagi ni, beg tu hati-hati, jangan sampai tersepit!”
Kakak ini, pagi-pagi sudah buat pahala. Saya kira kakak ini sudah khatam banyak kitab kuning dan hadis yang mengandungi syarah bab bersedekah. Syabas kak, moga jadi contoh kepada orang lain.
Keesokan harinya, saya terharu pula melihat seorang wanita bermati-matian menolak masuk beg seorang perempuan yang lain agar tidak disepit oleh pintu komuter. Walaupun beliau sendiri gagal naik komuter tersebut, tetapi dia masih mahu menolak beg orang yang sudah berjaya masuk ke dalam komuter agar pintu komuter dapat tertutup dengan rapat. Mahu pula dia menolong orang yang tidak dikenalinya itu walaupun dia sendiri akan terlambat masuk kerja. Alahai, suci murninya hati kakak itu.
Dan kerana islam tidak pernah menyempitkan konsep sedekah dengan menderma wang sahaja, maka saya kira perbuatan kakak itu juga merupakan satu sedekah. Cantik benar islam ini, bukan?
Seorang indon jantan yang ada di platform komuter, memandang saya dengan pandangan menggoda (uwek). Apa, kau kira harga status warganegara yang akan engkau dapat dengan menikahi gadis Malaysia semurah renungan mata kau yang seperti orang demam denggi itu?
Anak-anak Saudaraku
Setiap hari, (jika saya tidak berkampung di rumah kakak dan abang yang sudah berkeluarga di Puchong) maka biasanya saya akan naik komuter jam 7.03 pagi. Koc jam 7.03 pagi biasanya tidak padat dan agak nyaman. Komuter jam 7.18 pagi pula hanyalah janji manis KTMB kerana selama seminggu menganalisis perangai komuter ini, saya mendapati tidak pernah sekalipun komuter jam 7.18 pagi tiba tepat jam 7.18 pagi.
Koc jam 7.33 pagi atau jam 7.48 pagi, maka inilah koc yang mak oi jika tuan puan adalah seorang yang lemah dan tidak kuat, dinasihatkan sila bawa pembantu yang boleh mendukung tuan puan masuk ke dalamnya. Tetapi jika tuan puan mahu melatih mental dan fizikal agar menjadi kuat, maka saya sarankan agar naik komuter pada waktu-waktu puncak seperti ini. Saya yakin hasilnya akan mengagumkan. Malah, tuan puan juga boleh menguji semua saraf dan deria bau tuan puan sama ada berfungsi atau tidak. Ini pakej latihan mental dan fizikal yang lengkap. Percuma pula.
Bulan ini, belum satu hari pun lagi saya bermalam di Puchong. Semuanya kerana penilaian tender. Maka saya lebih selesa duduk di Pantai Dalam sahaja selama penilaian tender berlangsung. Selesai penilaian, teringat pula akan anak-anak saudara di Puchong. Biasanya jika lama tidak ke Puchong, si Icad yang berumur lima tahun itu akan menelefon dan bertanya bilakah mak saudaranya yang baik hati ini(saya le) akan ke sana.
Saya selalunya akan lemah hati jika menerima panggilan daripada anak saudara yang bertanya soalan begitu. Maka sibuk atau tidak, saya akan berusaha sama ada bermalam sehari dua atau berminggu-minggu di rumahnya. Masalahnya di sana bukan hanya keluarga Icad sahaja yang ada. Disebabkan saya ini ibu saudara yang menjadi idola mereka(hehe), maka saya terpaksa melayan peminat-peminat kecil yang terdiri daripada tiga buah keluarga yang menetap di taman perumahan yang sama itu. Keluarga Kak dah, keluarga Abang Yo, dan keluarga Kak Lah.
Iman, Kak Yon, dan Icad. Haikal dan Haziq. Adam dan Akil. Pernah sekali kesemua si kecil ini mahu tidur ramai-ramai bersama saya. Ada pula yang sebelum tidur buat peraturan sendiri, iaitu mesti minum teh panas dahulu. Adui, si kecil ini sebenarnya bukan mahu tidur, tapi mata mereka masih segar dan mahu bermain. Sebab itu peraturan tidurnya pelik-pelik, agar saya tidak menutup lampu bilik. Jika keluarga Kak Na di USJ datang ke Puchong, maka tambahlah bingit dengan kehadiran Aesyah pula. Nasib baik baki empat orang anak saudara menetap di Kelantan. Jika tidak, saya tahu tidak ada gunanya membawa pulang kerja-kerja pejabat jika mahu bermalam di sana.
Rasanya saya tahu mengapa anak-anak saudara saya suka berkawan dengan orang dewasa seperti saya. Satu sahaja sebabnya. Sebabnya, saya suka melayan mereka bercakap, dan saya suka bercerita kepada mereka. Kepada si kecil Icad dan Aesyah, saya selalu merangsang mereka bertutur dengan bertanya perihal sekolah dan rakan-rakan mereka. Kepada si besar Iman dan Kak Yon, Widad dan Ibad, saya suka merangsang otak mereka berfikir dengan membuka isu Perang Palestin, Yakjuj dan Makjuj, tentang buku-buku, dan isu-isu agama yang lain.
Kanak-Kanak Yang Anti Hadis?
Kak Yon, si darjah lima pernah bercerita kepada saya, seorang rakannya memberitahu bahawa dia langsung tidak percayakan semua hadis nabi. Wah, si kecil berumur sebelas tahun sudah pandai mempertikai hadis nabi? Saya kebimbangan. Sebegini teruk anak-anak islam sekarang. Padan benar angka murtad sentiasa bertambah dari tahun ke tahun.
19 Mei 2010
Senario biasa setiap kali masuk ofis selepas beberapa hari off. Bos saya dengan arahannya, anak buah saya dengan masalah-masalah kerjanya, syarikat-syarikat di bawah pemantauan saya dengan kerenah-kerenahnya, dan pegawai-pegawai dari unit lain dengan sejuta permintaan dan permohonannya berkaitan kerja kepada saya. Tray dan meja sudah pastinya penuh dengan pelbagai dokumen dan memo yang diletakkan oleh orang-orang yang mahukan khidmat saya dan yang memberi khidmat kepada saya.
Kerja-kerja juruteknik yang seminggu tidak diselia. Kerja-kerja ISO yang akan dibentang dalam meeting minggu hadapan. Pemantauan aset ICT. Enhancement Sistem Helpdesk. Masalah penyenggaraan peralatan ICT. Quotation dan L.O yang berlambak untuk disemak dan diluluskan. Permohonan peminjaman dan pembekalan peralatan ICT daripada bahagian-bahagian yang perlu dilayan. Pelupusan ICT yang masih belum selesai. Penggantian peralatan ICT yang sedang berjalan. Sebut harga penyenggaraan. Isu motherboard notebook yang dihantar kontraktor ke service centre. Laporan Prestasi seorang lagi anak buah yang belum disahkan. Permohonan cuti anak buah yang masih belum disemak dan disokong dalam sistem. Ada pula seorang juruteknik saya yang kebelakangan ini kerap cuti tanpa memaklumkan kepada saya walaupun sudah dipesan berkali-kali. Ada masalahkah dia? Pulang ke rumah nanti, komitmen ke atas buku dan agenda lain pula menanti. Teringat pula soalan Kak Ida saya setiap kali dia menelefon: Dah ganti Dato' Najib ke? Ke engkau dah duduk kat kerusi Dato' Najib sekarang - soalan ini sering dilontarkannya sebaik sahaja saya mengangkat telefon lantaran geramnya dia kerana sukar untuk "get" saya. Sibuk, sehingga kadang-kadang saya tidak sempat angkat telefon. Apabila pulang ke rumah, badan penat lalu terus terlupa untuk menelefonnya kembali. Bukan dia seorang sahaja, orang lain pun terpaksa menerima nasib yang sama. Abang Husin dan Kak Wa (keluarga angkat saya), kawan-kawan, dan adik beradik lain. Saya rasa bersalah pada mereka-mereka ini. Hati mereka, orang-orang yang sayangkan saya ini sepatutnya saya jaga sebaiknya, biarpun hati dan badan saya sendiri tidak terjaga. Banyaknya kerja yang belum selesai. Di mana saya harus bermula?
Saya monyok di kerusi. Anak-anak buah yang ditinggalkan seminggu tanpa ketua tidak saya jenguk pun bilik mereka. Penat. Letih. Hidup di dunia tiba-tiba rasa mendatar, kosong, dan bosan kerana mengenang akhirat sebenarnya kehidupan yang hakiki. Hati berdetik, sampai bila semua ini akan berlangsung? Bilakah semua komitmen kepada dunia ini akan berakhir? Perasaan apakah ini? Syaitan? Bukankah pejuang yang mengaku mahu berjihad di jalan Allah sepatutnya tidak boleh rasa bosan kerana sentiasa sibuk dengan urusan berlandaskan agama?
Tidak, kerja tidak pernah akan habis. Yang akan habis ialah masa dan umur. Justeru, kembalilah kepada tujuan apa engkau diciptakan Allah dan didudukkan di kerusi ini. Teringat artikel Ustaz Hasrizal - Bawalah Hatimu Pulang Ke Asalnya dan Gurindam Jiwa Menjadi Garam yang amat berkaitan dengan situasi saya ketika ini.
Lalu saya cuba memujuk hati dengan membuka folder itinerary dalam emel yahoo saya:
Saya rindukan bonda dan ayahnda. Saya rindukan rumah kedai bernombor 1506 tempat saya membesar dan meniti kematangan. Saya rindukan pemandangan Pasar Besar Selising yang berada di hadapan rumah saya, dan saya rindukan udara Kampung Selising dan suasana paginya yang sentiasa disibukkan oleh peniaga dan peraih yang mencari rezeki di pasar itu. Saya rindukan laungan azan dari Masjid Selising, dan saya rindukan zaman belajar mukaddam dengan arwah Tokwan, dengan bonda, dan dengan ayahnda.
Kerja saya masih banyak yang tidak selesai tetapi mengenangkan bulan hadapan wajah bonda dan ayahnda bakal ditatap, hati mula sedikit tenang. Justeru tuhan, di mana saya harus bermula sekarang?
Bismillahirrahmanirrahim. Ya, dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyanyang, dengan namaNyalah aku bermula!

0 comments:
Post a Comment