
Petang tadi, dalam perjalanan pulang dari kerja, seperti biasa saya dan kakak saya, Kak Ida bersembang-sembang. Sembang-sembang begitu, tidaklah bosan mengharungi jalan yang sesak terutama sekali apabila masuk ke persimpangan sibuk yang berhampiran dengan Giant Sri Kembangan itu.
Sambil memandu kereta, Kak Ida rancak bercerita tentang kisah-kisah anak-anak muridnya di sekolah.
Kak Ida : Engkau tahu, hari ini ada seorang anak murid aku cerita, tiap-tiap malam dia tengok mak dan ayah dia bergaduh.
Saya : Bergaduh? Bergaduh depan anak? Fasal apa?
Kak Ida : Aku pun tanyalah anak murid aku tu. Betul ke apa yang kamu cakap ni? Kenapa mak dan ayah kamu bergaduh? Sebab apa?
Saya : Lepas tu?
Kak Ida : Kata anak murid aku, entahlah sebab apa cikgu, tapi memang tiap-tiap malam mak dan ayah bergaduh. Saya tengok tiap-tiap malam ayah tindih mak atas katil!
Saya : Hahhhh??????!!!!!
Oh tidak!
Sahabat-sahabat faham bukan kisah sebenar di sebalik “pergaduhan” ibu dan ayah pelajar di kelas kakak saya itu?
Kata kakak saya, mungkin anak muridnya biasa menonton rancangan gusti Smackdown yang sering menunjukkan aksi lawan tindih-menindih. Sebab itu kanak-kanak itu beranggapan tiap-tiap malam ibu dan ayahnya bergaduh atas katil huhu...
Wahai hamba Alah, lelaki dan perempuan yang bakal ataupun sudah bergelar ibu dan ayah!
Janganlah sesekali memandang ringan perkara ini. Selama ini bukan sedikit kita mendengar dan membaca berita kes-kes moral yang berpunca daripada perkara sebegini. Justeru jika sayangkan anak-anak anda, ajar-ajarlah mereka tidur di bilik sendiri. Pisahkanlah bilik tidur mereka. Jangan sampai sudah terkantuk, baru kita hendak terngadah.
Jadi, kalau mahu beli rumah, pastikan minimum bilik tidurnya ada tiga, ya?
Islam ada garis panduannya dalam hal sebegini. Carilah ilmu, dan tanyalah orang yang pakar. Sesungguhnya anak-anak adalah bak kain putih yang terbentang, sedang menunggu hendak dicorakkan. Janganlah kita hitamkan kain putih itu. Kasihanilah anak-anak kita. Sudahlah selangkah kaki mereka keluar dari rumah, di kiri dan kanan mereka sudah penuh dengan pelbagai serangan moral (pusat-pusat hiburan dan maksiat). Janganlah pula kita, ibu dan bapa mereka sendiri pula yang menjadi salah satu penyumbang kepada kebejatan moral itu.
Saya yang masih belum punya anak, sendiri takut mengenangkan cabaran yang bakal saya tempuhi dalam mendidik anak-anak saya nanti (seandainya tuhan mengizinkan saya punya anak).
Mendidik anak-anak bukan perkara mudah. Hendak anak yang soleh, kita sebagai ibu bapa terlebih dahulu perlu menjadi manusia yang soleh. Pernah dengar pepatah Seperti ketam yang mengajar anak berjalan betul, sedangkan dia sendiri berjalan bengkok? Jika kita ibu bapa yang cintakan hiburan dunia, bagaimana hendak berjaya menjadikan anak kita anak yang cintakan akhirat.
Jangan berharap anak kita menjadi manusia yang rajin sembahyang, jika kita sendiri mengambil ringan hal ehwal sembahyang. Jangan berharap anak kita mencintai al-quran dan beramal dengan isinya, jika kita sendiri tidak faham, malah jarang sekali mengamal isi alquran tersebut. Tidak hairan nabi pernah berkata, jika kamu hendak berkahwin, seboleh mungkin carilah pasangan daripada keturunan yang baik, kerana pengaruh keturunan kepada keturunanmu itu sangatlah kuat.
Kepimpinan melalui teladan. Itu kaedah paling berkesan dalam mendidik. Anak akan ikut rajin sembahyang apabila melihat kita rajin menunaikan sembahyang (wajib dan sunat). Anak akan mencintai alquran, apabila melihat kita rajin membaca dan mentadabbur isi alquran. Anak akan rajin membaca buku, jika kita ibu dan bapa mereka sendiri rajin menghidupkan budaya mencintai ilmu di dalam rumah sendiri.
Pengaruh terdekat anak-anak adalah ibu bapa. Sebab itu orang-orang tua melayu datang dengan pepatah, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Acuannya kuih bahulu, maka akan terhasillah kuih bahulu. Mustahil jika acuannya kuih bahulu, yang terhasil kuih karipap pula!
Wallahua’lam.

0 comments:
Post a Comment